Perpustakaan Kuala Lumpur merupakan sebuah perpustakaan awam dibawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia bermula dengan penubuhan Pustaka Bimbingan Kanak-Kanak pada tahun 1977 di Jalan Tun Razak.
Pada tahun 1981, sebuah lagi cawangan telah dibuka di Taman Tun Dr. Ismail yang diberi nama Pustaka Bimbingan Kanak Kanak Taman Tun Dr. Ismail.
Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ketiga iaitu Tan Sri Dato’ Elyas Omar telah merasmikan Pustaka Peringatan Kuala Lumpur pada 29 Mac 1989 sebagai sebuah perpustakaan awam dan mini muzium sejarah Kuala Lumpur untuk warga kota. Ia kemudiannya ditukar nama kepada Perpustakaan Kuala Lumpur pada tahun 2000 untuk memperlihatkan peranan sebuah perpustakaan dalam perubahan yang drastik di alaf baru. Kini Perpustakaan Kuala Lumpur bersedia memberi perkhidmatan di bangunan yang telah diduduki semenjak tahun 2004.
Keahlian Perpustakaan Kuala Lumpur adalah PERCUMA kepada mereka yang berumur seawal usia 4 tahun dan menetap di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran.
Kini kami menyediakan sebanyak 15 buah perpustakaan cawangan di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Dengan kekuatan sebanyak lebih 100K bahan bacaan fizikal, lebih 5000 bahan bacaan digital termasuk surat khabar, pangkalan data dan pelbagai lagi, kami juga turut menawarkan pelbagai perkhidmatan dan ruang yang selesa untuk digunakan oleh pengguna perpustakaan.
”