Perutusan Ketua Pustakawan

Anita

Anita binti Mohd Jali

Ketua Pustakawan
Perpustakaan Kuala Lumpur
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga kota yang telah sentiasa memberikan sokongan, pandangan, dan komen yang bernas untuk pertumbuhan dan pembangunan perkhidmatan Perpustakaan Kuala Lumpur.

Pada tahun ini Perpustakaan Kuala Lumpur mensasarkan untuk menjadikan perpustakaan sebagai hub sosial bagi warga kota Kuala Lumpur. Kami percaya bahawa perpustakaan bukan sahaja tempat untuk membaca dan mengakses maklumat, tetapi juga tempat di mana komuniti berkumpul, berkongsi idea, dan membina hubungan yang erat.

Sebagai hub sosial, Perpustakaan Kuala Lumpur akan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat. Ia akan menjadi tempat di mana individu dari pelbagai lapisan masyarakat boleh berkumpul untuk menghadiri ceramah, bengkel, perbincangan buku, dan pelbagai acara lain. Dengan cara ini, perpustakaan akan menjadi pusat kegiatan yang memperkayakan budaya dan pengetahuan dalam komuniti kita.

Selain itu, perpustakaan juga akan berperanan sebagai tempat untuk mewujudkan persekitaran yang inklusif dan mesra. Dengan menyediakan ruang mesra untuk semua golongan, termasuk kanak-kanak, remaja, orang dewasa, dan golongan kurang upaya, kami berharap agar setiap individu merasa dialu-alukan dan selesa di perpustakaan ini.

Saya berharap bahawa dengan usaha kita bersama, ianya dapat menjadikan impian ini menjadi kenyataan dan menjadikan perpustakaan sebagai tempat yang bermakna dan penting dalam kehidupan kita sehari-hari.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah dan akan terus menyumbang kepada perkembangan perpustakaan ini. Marilah kita bersama-sama menyokong dan memanfaatkan Perpustakaan Kuala Lumpur untuk kebaikan bersama.

Sekian, terima kasih.

Ketua Pustakawan
Perpustakaan Kuala Lumpur.